Sunday, February 27, 2011

SEJARAH HOKI DI MALAYSIA

 Permainan hoki diperkenalkan ke Malaysia oleh askar dan kakitangan Inggeris yang bertugas di sini pada tahun 1892. Namun pada peringkat awal ini, ia hanya berjaya menarik minat orang-orang Inggeris dan Eropah yang bertugas di sini. Penduduk tempatan masih belum dapat menerimanya pada peringkat ini. Pada tahun 1904, perlawanan hoki antara negeri pertama kali diadakan di negara kita, iaitu di antara Selangor dan Singapura.

Mulai tahun 1920 barulah permainan ini berjaya menarik minat penduduk tempatan. Dari sehari ke sehari bilangan mereka yang mempelajari dan bermainnya mulai meningkat. Kini hoki berjaya menjadi salah satu acara sukan yang diminati di negara ini. Semua peringkat umur bermainnya samada lelaki dan juga perempuan. Pada tahun 1926 perlawanan hoki pertama melibatkan penduduk tempatan diadakan, iaitu di antara Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Negeri-negeri Selat.

Pada tahun 1948 Persekutuan Hoki Tanah Melayu (MHF) ditubuhkan sebagai badan penyelaras permainan ini di Malaysia. Pada tahun 1953 FIH telah menerima MHF sebagai ahli gabungannya. Dengan demikian ia telah memberi peluang kepada pasukan kita mengambil bahagian dalam kejohanan dan pertandingan antarabangsa.

Kemudian MHF bersama Kesatuan Olahraga Tanah Melayu menubuhkan Majlis Olimpik Kebangsaan.
Kejohanan hoki pertama anjuran MHF ialah pada tahun 1951 hinggalah kini. Allahyarham Tun Abdul Razak dilantik sebagai Presiden MHF ( 1957) dan beliau menghadiahkan sebuah piala sebagai rebutan untuk pertandingan antara negeri-negeri. Piala ini dinamakan Piala Razak, sempena dengan nama beliau. Bagaimanapun pada tahun 1963 barulah pertandingan ini berjaya dianjurkan.

Perlantikan Allahyarham Tun Razak sebagai Presiden MHF telah memberi perangsang dan galakan serta semangat baru kepada MHF serta orang ramai untuk memajukan permainan hoki di negara ini. Buktinya kini terdapat berbagai-bagai pertandingan peringkat kebangsaan setiap tahun di bawah anjuran MHF. Kini Presiden MHF ialah KDYTM Tengku Abdullah Al Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah. MHF juga menguruskan perlawanan dan pertandingan peringkat antarabangsa. Hasil pertemuan Tanah Melayu dan India telah mendorong pasukan tersebut untuk mengadakan perlawanan ulangan pada tahun 1954. Setahun kemudian, pasukan hoki Pakistan pula mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara.

Tahun 1956 merupakan tahun bersejarah bagi hoki di negara. Ini kerana pada tahun itu pasukan negara turut mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik yang diadakan di Melbourne, Australia. Malaysia menduduki tempat kesembilan daripada 12 pasukan yang mengambil bahagian. Pasukan hoki juga turut mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala Dunia yang mula diadakan pada tahun 1971.

Pada tahun 1975 negara kita terpilih sebagai tuan rumah Piala Dunia, dimana Malaysia menduduki tempat ke empat. Manakala dalam Sukan Asia pasukan negara sering menduduki tempat ketiga di belakang India dan Pakistan, dan dalam Sukan SEA pula, tiada negara yang mampu menggugat pasukan negara

SUMBER : http://kelabhokistar.blogspot.com/2010/05/sejarah-hoki-di-malaysia.html

1 comment: