Thursday, March 24, 2011

LIGA HOKI REMAJA 2011




KUALA LUMPUR - Semua pasukan yang beraksi dalam Liga Hoki Remaja musim ini bakal menerima subsidi RM3,000 daripada Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) untuk memastikan kesemua pasukan dapat beraksi tanpa sebarang masalah.

Saingan liga musim ini menyaksikan penglibatan 24 pasukan yang akan berentap untuk merebut gelaran melibatkan Divisyen 1 dan Divisyen 2 bermula Jumaat ini sekali gus menjanjikan saingan yang lebih kompetitif.
Naib Presiden PHM, M. Gobinathan berkata, jumlah pasukan yang menyertai liga musim ini adalah yang paling memberangsangkan berbanding tahun lalu 22 pasukan.
Katanya, daripada 24 pasukan yang bersaing pada musim ini melibatkan 10 pasukan akan bersaing dalam Divisyen 1 dan 14 pasukan dalam perlawanan Divisyen 2.

''Antara faktor peningkatan penyertaan pasukan pada tahun ini adalah kerana promosi daripada media yang cukup meluas selain kesedaran yang tinggi terhadap sukan hoki yang mampu melangkah lebih jauh.
''Kita harap dengan penglibatan lebih banyak pasukan dalam liga remaja ini dapat melahirkan lebih banyak pemain yang berkaliber untuk mengalas tugas mewakili negara beraksi di pentas dunia,'' katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar majlis tajaan dan pelancaran logo baru Liga Hoki Remaja 2011 di Stadium Hoki Tun Razak di sini, semalam.

[sumber : Utusan Malaysia]

1 comment:

  1. Good backup for the winners....and this will promote the playing....

    ReplyDelete